"Time-time business down ni lah nak kena bayar road tax lah, insurans lah, itu lah, ini lah". Keluhan ini mungkin biasa kita dengar atau kita sendiri yang ucapkan. Cukai jalan adalah cukai yang di wajikan oleh kerajaan bagi setiap kenderaan yang digunakan di jalan raya. Untuk menghidupkan cukai jalan pula, kenderaan tersebut haruslah diinsuranskan bagi tujuan perlindungan, bukan sahaja pemandu bahkan pengguna jalan raya yang lain. Hal yang demikian, ramai antara pemilik kenderaan meminta ejen insurans untuk mengurangkan nilai perlindungan insurans atau harga pasaran semasa kenderaan dengan tujuan untuk mengurangkan bayaran kontribusi takaful/insurans.
Apakah itu 'underinsurance'?
Memetik daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah sasar bagi 'Underinsurance' adalah, 'Insurans Terkurang'. Ia dihuraikan sebagai 'keadaan amaun insurans tidak dibeli dengan secukupnya untuk melindungi nilai boleh insurans'. Dari perspektif kewangan ini boleh menjadi risiko kepada pemilik terutama sekali jika berlaku kemalangan atau kecurian. Ini kerana nilai pampasan pastinya lebih rendah dari harga pasaran sebenar. Lebih-lebih lagi jika kemalangan yang mengakibatkan Pembaikan Luar Ekonomi (Beyond Economy Repair - B.E.R) atau istilah yang biasa kita dengar iaitu 'Total Loss'. Jika nilai pampasan lebih rendah berbanding nilai hutang dengan bank, maka, masih menjadi obligasi pemandu/ peminjam untuk membayar baki bayaran bulanan kepada pihak bank sehingga selesai pembayaran terakhir.
Bagaimanakah pengiraan tuntutan (claim) terhadap Insurans Terkurang? Berikut adalah contoh situasi dan formula pengiraan claim yang digunakan bagi Insurans Terkurang:-
Kerugian akibat kemalangan
Riduan memperbaharui cukai jalan dan insurans keretanya pada dengan nilai yang lebih rendah daripada nilaian pasaran semasa, iaitu RM30,000. Nilaian pasaran semasa untuk kenderaan jenis itu pada masa tersebut adalah RM50,000. Malangnya, tidak berapa lama selepas itu, kereta Riduan terlibat dengan kemalangan dan dia ingin mengemukakan claim terhadap syarikat insurans di atas kerosakan kenderaannya. Nilai pembaikan akibat kemalangan tersebut adalah sebanyak RM10,000. Berapakah nilai tuntutan yang berhak Riduan dapat daripada syarikat insurans?
Berdasarkan formula, Nilai pampasan yang akan dibayar oleh syarikat insurans kepada Riduan adalan sebanyak RM6,000. Makanya, Riduan harus membayar sendiri sebanyak RM4,000 untuk membaiki kenderaanya. Pengiraan ini juga adalah sebagai penalti di atas perbezaan di antara nilai pasaran semasa kenderaan dengan amaun diinsuranskan melebihi 10%.
Terlebih Insurans (Overinsurance)
Namun, Menjadi suatu pembaziran jika insurans terlebih, iaitu membeli insurans dengan nilai yang lebih daripada harga semasa. Ini kerana syarikat insurans tidak akan membayar lebih dari nilai pasaran. Bagi mengelakkan situasi insurans terkurang atau insurans terlebih ialah dengan memilih amaun diinsuranskan yang ditetapkan oleh sistem penilaian harga pasaran semasa yang diluluskan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Malaysian Takaful Association (MTA).
コメント