Kita sering mendengar ungkapan takaful dan mengaitkannya dengan insurans. Walaupun keduanya menawarkan tujuan untuk melindungi individu atau harta benda, terdapat perbedaan yang ketara antara sistem takaful dan insurans konvensional.
Konsep & Keperluan Takaful
Konsep takaful adalah menyediakan suatu bentuk pengurusan risiko yang mematuhi shari'ah berdasarkan prinsip perkongsian risiko untuk melindungi peserta daripada mengalami kerugian kewangan, liabiliti, aset atau kecederaan akibat musibah berdasarkan dari konsep ta'wun (jamin menjamin atau bantuan bersama).
Amalan takaful bertujuan mencapai maqasid shari'ah (tujuan atau makna yang harus diusahakan dan dicapai atas keperluan syarak) bagi kebaikan individu dan orang awam. Oleh kerana terdapat amalan di dalam sistem insurans konvensional yang bercanggah dengan prinsip syarak seperti riba(faedah), maisir (perjudi) dan gharar (ketidakjelasan), maka menjadi kewajiban pada masyarakat Islam untuk mengadakan dan memilih sistem yang patuh shariah. Amalan takaful yang digunakan di Malaysia menggunakan dua jenis kontrak iaitu kontrak tabarru'(sumbangan) dan wakalah(agensi) yang bebas dari sebarang unsur riba, maisir & gharar yang dikawal selia oleh Akta Perkhidmatan Wang Islam 2013.
Tabbaru' (sumbangan) Sistem takaful mengamalkan konsep sumbangan (tabbaru') ke dalam dana takaful. Dana tersebut akan digunakan bagi melindungi ahli dari risiko dan musibah. Berlainan degan insurans konvensional, premium dibayar oleh peserta kepada syarikat pengendali insurans bagi penerbitan polisi sebagai jaminan kewangan yaang memindahkan risiko kepada syarikat pengendali insurans. Syarikat insurans konvensional akan melabur berdasarkan penilaian yang sesuai dengan profil pelaburan mereka, manakala pengendali takaful hanya boleh melabur dalam instrumen kewangan yang halal & patuh syariah. Jika ada lebihan kewangan akibat kadar tuntutan (claim rate) yang rendah, ianya akan diagihkan kepada para peserta. Keuntungan daripada pelaburan juga akan diagihkan kepada ahli dan pemegang saham pengendali takaful. Berbeza dengan insurans konvensional, lebihan wang dan keuntungan hanya dikongsi antara pemegang saham syarikat insurans tersebut.
Takaful lebih 'mahal' daripada insurans konvensional?
Jika diteliti dalam pasaran, terdapat produk insurans konvensional yang datang dengan tanda harga yang lebih mahal daripada produk takaful. Ini kerana setiap syarikat takaful dan insurans membuat penilaian risiko dan kewangan sebelum menentukan harga setiap produk. Dalam konteks takaful atau insurans kenderaan misalnya, antara aspek yang diambil kira adalah nilai pasaran kenderaan, jenis kenderaan, tahun dibuat malah rekod dan latar belakang pemilik dan pemandu turut diambil kira. Syarikat takaful dan insurans membuat pemerhatian ke atas tren kadar tuntutan (claim rate) terhadap faktor-faktor tersebut sebelum memutuskan kadar bayaran. Hal yang paling signifikan juga adalah kedudukan kewangan suatu syarikat takaful/insurans atau produk terbabit. Secara asasnya sumbangan atau premium yang diperoleh daripada ahli akan digunakan untuk melindungi risiko setiap ahli yang terlibat. Hal yang demikian, volume atau bilangan ahli memainkan peranan dalam mengukuhkan kedudukan kewangan bagi menjamin risiko setiap ahli. Logiknya, kos dapat dikurangkan ke atas setiap ahli apabila kos keseluruhan dicatu antara ahli-ahli yang lain. Maka sebab itulah di awal pengenalan produk takaful, kita biasa mendengar bahawa produk takaful lebih mahal daripada produk konvensional. Kini tidak lagi begitu keadaannya, kedudukan segmet takaful sudah semakin kukuh bahkan boleh menyaingi produk konvensional dan lebih kompetitif dalam pasaran.
Takaful untuk semua
Produk takaful bukanlah alternatif kepada umat Islam bahkan menjadi kewajiban kepada setiap muslim untuk memilih saluran yang berlandaskan syariah. Walaubagaimanapun takaful tidak eksklusif untuk yang beragama Islam sahaja. Konsep ta'wun di dalam takaful itu sendiri bermaksud menjamin dan bekerjasama bagi faedah masyarakat. Dalam konteks di Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum & agama, konsep ini inklusif untuk semua.
Malahan, terdapat banyak kaji selidik dan kajian yang menujukkan sistem kewangan Islam diterima baik oleh ramai penganut agama lain. Antara sebabnya adalah prinsip pematuhan syariah yang menghindari unsur-unsur riba, maisir & gharar yang mana ianya juga dianggap sebagai tanggungjawab moral bagi yang bukan Islam untuk menghindari unsur-unsur terbabit. Faktor yang lebih besar adalah dari sudut ekonomi, seperti yang berlaku semasa krisis kewangan dunia yang lalu di mana instrumen kewangan Islam tidak terkesan akibat tidak terlibat dengan spekulasi pasaran dan riba.
Comentários